Thursday, August 30, 2007

Salam Kemerdekaan !!

merdeka! esok - ulangtahun ke-50 kemerdekaan Malaysia. pertama sekali, dipanjatkan kesyukuran kepada Illahi atas NIKMAT kemerdekaan ini. atas perkembangan dan pembangunan ekonomi yang pesat. maka dengan izin-Nya, daripada kemakmuran ini, aku dan kalian berpeluang menerima pendidikan dan mengenal ILMU sejak dari kecil lagi sehinggalah ke saat ini, masing-masing di tempat yang ditetapkan oleh Allah untuk kita. Alhamdulillah.

Malaysiaku Gemilang !

tema kemerdekaan tahun ini. terkenang zaman persekolahan. hampir setiap tahun, sambutan kemerdekaan peringkat sekolah pasti diadakan. dan tidak aku nafikan, jika dibandingkan aura sambutan kemerdekaan pada tahun ini, tidaklah sehebat aura yang pernah dirasakan semasa di sekolah. hal ini kerana, di sekolah, ada sahaja pelbagai aktiviti yang diadakan. pertandingan, nyanyian lagu tema : keranamu Malaysia, Jalur Gemilang, Tanggal 31(lagu Allahyarham Sudirman), dan entah berapa banyak lagi lagu-lagu tema, ada sketsa, persembahan bertemakan kemerdekaan,etc. cuma tahun ini, aku tidak berapa kenal atau familiar dengan lagu tema tahun ini. hanya sekali dua terdengar di radio atau t.v. cambes. huhu. rindu dengan sekolah.

masa sekolah rendah, aku masih ingat, kami ahli lembaga pengawas 2001 (masa tahun 6), kami membuat sketsa. walaupun samar-samar dalam memoriku, tapi ia satu memori yang indah. keseronokan dan patriotisme seorang aku pada usia 12 tahun. bercakap mengenai patriotisme, apa kata kita teliti maksud sebenar patriotisme. hehe. aku pun sebenarnya tidak tahu. cuma faham maksud patriotisme melalui tindakan-tindakan dan contoh-contoh yang aku lihat di sekeliling. saban tahun, disebut-sebut, disana-sini, patriotisme. melalui yang aku lihat, membuatkan aku menafsirkan patriotisme itu sebagai ; mengibarkan bendera di rumah, di kereta, menyanyikan lagu patriotik, terlibat dalam akitiviti yang menyemarakkan bulan dan hari kemerdekaan, dan banyak lagi. dan kalian mungkin mempunyai persepsi yang sama dan mungkin berbeza tentang patriotisme.

menurut kamus dewan edisi ketiga; patriotisme ialah perasaan cinta yang kuat terhadap tanah air. mungkin tindakan-tindakan yang aku sebutkan di atas tadi menepati maksud patriotisme. maksudnya, kerana 'perasaan cinta yang kuat terhadap tanah air', orang mengibar bendera, orang menyanyi lagu tema merdeka. tetapi, adakah tindakan-tindakan itu benar-benar menujukkan patriotisme?

aku cuba untuk menyalurkan semangat patriotik itu dengan MEMAKNAKAN dengan makna yang lebih bermakna bagi makna patriotsme. bukan sekadar mengibarkan 20 bendera di atas atap rumah atau bumbung dan bonet kereta. diringkaskan, jikalau benar kita cintakan negara, maka pikullah tanggungjawab sebagai warganegara dengan MENJAGA negara dan MEMELIHARA negara dan mungkin suatu hari nanti, khususnya bagi yang lelaki akan menjadi PEMIMPIN negara. maka PIMPINLAH negara seperti pentadbiran Rasulullah dan Khulafa' ar-Rasyidin, yang menjadikan PERATURAN dan Undang-undang Allah sebagai paksi utama negara.

selama ini, aku tidak faham hakikat ini. apakah perbezaannya jikalau negara melaksanakan undang-undang konvensional dengan melaksanakan undang-undang Islam. alhamdulillah, dengan peringatan, penceritaan, perkongsiaan oleh insan-insan yang prihatin tentang isu ini, aku mula cuba untuk memahaminya. dulu dalam kelas, ustaz pernah menyebut, tentang kewajipan melaksanakan undang-undang Islam dalam pentadbiran negara. Analogi yang ustaz berikan; jika kita membeli kereta Vios, maka untuk memastikan Vios berada dalam tahap yang baik kita perlu rujuk kepada manual/buku panduan untuk kereta Vios. apa terjadi jika kita merujuk manual kereta Kancil, membaiki Vios dengan penyelenggaraan kereta Kancil, tidakkah ia mengeruhkan keadaan? penyelenggaraan untuk Vios, hanyalah pembuat/pengilang Vios yang tahu bagaimana untuk menyelesaikan permasalahannya.

begitu juga manusia. Allah yang menciptakan manusia dan Allah jualah yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk manusia. maka hanya undang-undang Allah yang terbaik untuk memimpin manusia, untuk membaiki 'kerosakan-kerosakan' manusia.

jikalau diteliti isu ini, dapat dilihat impaknya jika negara tidak Islam. salah satu contoh yang aku terfikirkan, riba'. riba' itu haram. tetapi kita semua amat terdedah dengan amalan riba' ini. terutamanya dalam urusan dengan bank, pinjaman, serta kad kredit. astaghfirullah. sedih jika ingin difikirkan mengenainya. dengan kekhilafan dan kejahilan diri ini tentang pemahaman Islam yang sebenar-benarnya. banyak lagi yang diri ini tidak punya kefahaman untuk menghindari daripada terlibat dengannya. hanya mampu bergantung kepada informasi-informasi yang dikongsikan oleh aktivis-aktivis Islam yang prihatin, contohnya isu pelaburan internet, FOREX, dan banyak lagi.

itu baru dari skop yang kecil iaitu, sudut ekonomi sahaja! bagaimana dengan sudut-sudut kehidupan yang lain? sedihnya. :(

jadi, penyelesaiannya hanya dengan tertegaknya negara Islam yang syumul. maka, insyaAllah, pemimpin kita pada masa itu dapat melaksanakan sistem muamalah yang mengikut syara'. insyaAllah, mungkin riba' pada masa itu akan diharamkan sama sekali dalam mana-mana sistem ekonomi. insyaAllah, bukan sekadar bidang ekonomi tetapi cara hidup Islam yang syumul atau menyeluruh juga dapat diaplikasikan dalam kalangan Muslim dan pada masa yang sama memelihara keharmonian pelbagai kaum di negara kita ini.

formula Piagam Madinah telah terbukti kejayaannya. negara Islam Madinah pada ketika itu tidak menindas rakyatnya yang bukan Islam sebaliknya menjaga mereka. adakah tidak mungkin perkara yang yang sama berlaku jika negara yang berusia hampir 5o tahun ini menggunakan formula yang sama? tambahan lagi, dengan formula yang diamalkan sekarang ini, tetap ada menampakkan beberapa pergeseran dalam kalangan kita di sebalik keharmonian yang terpancar. peraturan yang diadakan oleh manusia, walaupun baik tetapi tetap ada kekurangannya.

coretan pagi ini. 13 jam lebih lagi sebelum menghampiri ulangtahun kemerdekaan yang ke-50. penaipan ini sebagai ingatan kepada diri ini. mudahan kita semua dalam pemeliharaan-Nya dan hidayah-Nya.

buah cempedak di luar pagar,
ambil galah tolong jolokkan,
saya budak baru belajar,
kalau salah tolong tunjukkan.

kalau salah tolong tunjukkan. yang tertaip ini semangnya terbatas dengan pengetahuanku yang sememangnya terbatas.

Subhanaka laa 'ilamalana illa ma 'alamtana innaka anta 'alimul hakim.

Allahu'alam.

No comments: