Friday, May 18, 2007

Pelayaran hidup

erm. semalam, aku baca satu post di saifulislam.com. dan membuatkan aku terfikir.

hidup kita umpama sebuah pelayaran? mungkin. pelayaran di tengah-tengah lautan yang luas, jauh dari daratan. bayangkan, jika sebuah kapal tersadai di tengah lautan, tidak tahu hendak menghala ke mana, dan membiarkan sahaja diri dibawa arus lautan, entah menuju ke mana-mana destinasi. bagaimana jika hidup kita begitu? berapa lama masa yang perlu diambil untuk sampai ke daratan, ke destinasi agar kita dapat berpijak di bumi nyata?

aku rasa, kadang-kadang, hidup aku begitu. aku tenggelam di tengah lautan, dek pukulan arus yang kuat. aku tidak dapat mencari jalan keluar untuk sampai ke daratan. mengapa? kerana aku membiarkan sahaja kapal layarku dibawa arus. ke timur, ke barat, ke selatan, atau ke utara. aku tidak mengumpulkan seluruh tenagaku untuk berkayuh menuju ke satu-satu destinasi yang tertentu. jikalau berkayuh pun, tidak sesungguh-sungguhnya. bagaimana akan aku sampai ke destinasi, jika seringkali haluanku diubah arus?akhirnya, pusing-pusing, di situ juga kembalinya. tersekat di tengah lautan.

pelayaran ini, perlu digunakan segala kekuatan. seluruh tenaga perlu kita gunakan untuk mengayuh laju. menuju ke destinasi yang hendak dituju. menongkah segala arus yang mendatang. biar kapal tenggelam, kita masih boleh berenang. yang penting kekuatan dan keinginan yang padu. berkayuhlah ke satu arah yang tetap sehingga sampai ke daratan.

mungkin, 100 meter lagi menuju daratan, destinasi yang telah ditemui, tidak indah pada pandangan mata, tidak seperti yang pernah dijangka. teruskan kayuhan, berpijaklah di daratan itu dahulu. usah pesimis, usah berputus asa jika destinasi yang ditakdirkan jauh daripada apa yang pernah digambarkan. bayangkan, 100 meter lagi menuju daratan, jika kita berputus asa. impaknya, kita akan kembali hanyut dalam arus yang bergelora.

kerana, segala kekuatan telahpun kita curahkan untuk sampai ke destinasi itu, dan dalam jarak 100 meter itu, jika kita baru hendak membuat keputusan untuk tidak berpijak di sana, bayangkan apa yang akan terjadi? dengan keadaan yang lemah dan kehabisan tenaga dan jika ditambah dengan putus asa, maka punahlah kita. lemaslah kita dalam lautan itu. mengapa tidak kita cepatkan kayuhan, agar cepat sampai ke daratan. menjadikan daratan itu sebagai satu persinggahan untuk kita, untuk kita mengumpulkan kembali tenaga, mengambil pelajaran berguna sebagai bekalan untuk kita meneruskan pelayaran yang seterusnya.

mungkin, dalam pelayaran menuju ke destinasi yang sebenarnya, kita akan kerapkali tersadai di daratan-daratan yang kita rasakan tiada maknanya dalam hidup kita. sesungguhnya, tentu ada hikmah di sebalik segalanya. oleh itu, optimis dan positiflah sentiasa.

ke mana-mana pun kita akan menuju, ke mana-mana pun kita akan belayar, belayarlah dengan selajunya dan sehabis baiknya. dan jangan sekali-kali berhenti di tengah lautan dan berserah pada takdir semata-mata.

"... Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila dikehendaki oleh Allah keburukan kepada sesuatu kaum, maka tidak ada yang dapat menolak, dan tidak ada pelindung bagi mereka selain daripada-Nya..." 13:11

lagi dan lagi, peringatan untuk diri ini.

wallahu'alam.

No comments: